Ibn Maskawaih atau nama
sebenarnya Abu Ali bin Ahmad bin Muhammad bin Yaakub bin Maskawaih merupakan
ilmuwan Islam yang terpenting. Walaupun pemikiran falsafahnya tidak banyak
dibicarakan tetapi beliau telah mengemukakan berbagai-bagai teori falsafah
penting yang menjadi asas kepada pemikiran falsafah tokoh-tokoh selepasnya.
Pandangannya mengenai manusia dan
perkembangan masyarakat bukan sahaja menjadi asas pemikiran kepada ilmuwan
Islam yang lain seperti Ibnu Khaldun dan Jamaluddin Al Rini tetapi juga para
sarjana Barat. Teori evolusi yang dikemukakannya telah dijadikan sebagai bahan
kajian oleh Charles Darwin yang kemudiannya menerbitkan buku Origin of Species mengenai kejadian dan
asal-usul manusia.
Dalam buku tersebut, Charles
Darwin telah menyatakan bahawa manusia berkembang secara evolusi daripada
spesies hidupan yang paling ringkas kepada yang kompleks. Perkembangan itu
berlaku secara perlahan-lahan dan mengambil masa yang lama. Hasil daripada
kajian dan pemerhatiannya terhadap pelbagai spesies hidupan dan fosil di
beberapa buah benua, beliau akhirnya membuat keputusan bahawa manusia
sebenarnya berasal daripada beruk melalui proses evolusi.
Teori evolusinya telah menjadi
kontroversi dan mendapat tentangan daripada pihak gereja kerana dia menafikan
peranan Tuhan dalam menjadikan kehidupan di muka bumi ini. Namun begitu, teori
berkenaan telah menjadikan Darwin terkenal dan dianggap sebagai pelopor teori
evolusi yang digunakan oleh para sarjana dalam bidang antropologi dan
sosiologi dalam menghuraikansejarah serta perjalanan manusia serta perkembangan
masyarakat. Padahal teori evolusi telah lama digunakan oleh Ibn Maskawaih dalam
kajiannya mengenai perabadan manusia.
Menurutnya, kecerdikan manusia
tidaklah mengatasi kepintaran yang dimiliki oleh beruk. Tetapi manusia menjadi
lebih cerdik kerana pengalaman yang mereka peroleh dalam kehidupan
bermasyarakat. Bagi Ibn Maskawaih, manusia itu ialah sebuah dunia yang kecil
dan padanya terdapat gambaran mengenai segala yang ada di dunia ini. Setiap
manusia mempunyai peranannya yang tersendiri sama ada sebagai individu ataupun
anggota masyarakat.
Pendapat beliau ini menepati
"Teori Fungsi" yang dikemukakan oleh seorang ahli sosiologi Perancis
yang bernama Auguste Comte. Sekiranya setiap anggota masyarakat melaksanakan
peranan dan fungsinya maka masyarakat itu akan berada dalam keadaan yang stabil
dan bersatu padu serta membolehkannya berkembang dengan teratur. Manakala
sebarang gangguan terhadap fungsi itu akan mengakibatkan berlakunya konflik dan
pergolakan dalam masyarakat.
Secara tidak langsung akan
membawa keruntuhan kepada masyarakat tersebut. Jadi, tidak keterlaluan kalau di
katakan bahawa Ibn Maskawaih juga merupakan pengasas kepada Teori Fungsi yang
digunakan oleh para penganalisis sosial yang menjalankan kajian tentang
masyarakat kuno dan moden. Walaupun beliau terdidik dalam bidang perubatan,
tetapi minatnya yang mendalam terhadap ilmu, telah mendorongnya
mempelajari kesusasteraan,
falsafah, kimia, bahasa, dan ilmu klasik yang lain.
Beliau menguasai dan mempunyai
kepakaran setiap bidang yang dipelajarinya. Ibnu Maskawaih juga ahli sejarah
dan ilmuwan akhlak yang handal. Semua ilmu pengetahuan itu tidak dipelajari
sekali gus seperti yang sering dilakukan oleh sarjana Islam yang lain. Beliau
mempelajarinya secara berperingkat-peringkat dan akhirnya mendapati bidang
falsafah sesuai dengan dirinya sebagai seorang pemikir. Memulakan kerjayanya
sebagai doktor sebelum dilantik menjadi setiausaha kepada beberapa orang
menteri seperti Mueiz al Daulah.
Pengalaman tersebut memberikan
beliau peluang yang luas untuk mendampingi masyarakat dan orang ramai. Selepas
kematian Mueiz, beliau dilantik oleh Menteri Ibnu Amid menjadi ketua
perpustakaan. Kesempatan ini telah digunakan untuk menelaah berbagai-bagai buku
yang ditulis oleh para ilmuwan Islam dan Yunani. Selepas itu, beliau dilantik
pula sebagai Ketua Pemegang Amanah Khazanah yang bertanggungjawab menjaga
Perpustakaan Malik Adhdud Daulah yang memerintah dari tahun 367-372H. Dengan
pengetahuan dan pengalaman yang ada padanya, Ibn Muskawaih telah berjaya
membina ketokohannya sebagai seorang ilmuwan yang mempunyai pengetahuan yang
luas dalam pelbagai bidang.
Banyak teori telah dihasilkan
oleh beliau dan tidak terbatas kepada bidang falsafah semata-mata. Beliau
menulis berbagai-bagai kitab yang membicarakan pelbagai persoalan. Antaranya
Kitab al-Fauz al-Saghir yang menumpukan pembicaraan kepada persoalan yang berkaitan
dengan metafizik iaitu tentang Allah, kerasulan dan jiwa. Kebanyakan
pandangannya mengenai perkara ini disesuaikan daripada pandangan ahli falsafah
Yunani. Kesan pemikiran falsafah Yunani terhadap Ibn Muskawaih dapat dilihat
pada pandangannya mengenai jiwa.
Semasa mengungkap persoalan ini,
beliau menyatakan bahawa jiwa merupakan roh yang berlainan daripada tubuh dan
tidak mungkin dapat dilihat dan disentuh oleh pancaindera. Baginya jiwa sesuatu
yangdapat menerima dua perkara pada satu masa yang sama seperti keadaan hitam
dan putih pada satu waktu. Beliau juga telah mengemukakan teori akhlak dalam
kitabnya yang berjudul kitab Tahzib al-Akhlaq. Dalam kitab itu, beliau menyebut
kemuncak akhlak ialah apabila lahirnya perbuatan-perbuatan baik yang
dilakukan secara teratur.
Oleh itu, akhlak yang baik hanya
akan lahir daripada jiwa yang bersih dan begitu juga sebaliknya.Untuk mendapat
jiwa yang bersih maka anak-anak sejak kecil lagi harus didedahkan dengan
nilai-nilai yang baik. Nilai-nilai buruk pula hanya akan mengganggu proses
tumbesaran dan menyebabkan mereka membesar tanpa menghiraukan tatasusila.
Anak-anak perlu dilatih pada peringkat awal tumbesaran supaya bersikap dan
bertindak mengikut nilai-nilai ini agar sebati dengan diri serta sanubari mereka.
Ibn Maskawaih turut menulis
beberapa buah kitab yang lain seperti al'Adwiah al-Mufra-dah tentang
ubat-ubatan, Uns al'Farid sebuah antologi cerpen, Tajarub al'Umarn sebuah
catatan mengenai sejarah, al-Tabikh mengenai kaedah memasak, al'Asyribah yang
membicarakan tentang minuman, al'Fauz al-Kabir, dan Tajrib al'Um. Berdasarkan
banyak kitab yang ditulisnya maka ketokohannya sebagai ahli falsafah dan
pengarang tidak dapat dinafikan. Idea dan pandangannya jelas mendahului zaman
menjadikannya sebagai salah seorang ilmuwan serta sarjana Islam yang tiada
tolok bandingan pada zamannya. Sesungguhnya Ibn Maskawaih yang dilahirkan pada
330H (941M) di Kota Rhages itu akan terus dikenang sebagai seorang ahli
falsafah yang kaya dengan teori-teorinya
No comments:
Post a Comment